Sekumpulan bekas pelajar yang sudah berjaya di dalam kerjaya
masing-masing telah berkumpul untuk melawat pensyarah universiti yang
pernah mengajar mereka. Mereka berasa gembira kerana dapat bersua
sesama mereka setelah lama tidak berjumpa, apatah lagi dapat menemui
pensyarah universiti yang selama ini telah banyak membantu mereka ketika
menuntut ilmu di universiti yang menatijahkan kerjaya yang baik buat
mereka.
Setelah lama berbual, timbullah beberapa rungutan tentang
tekanan di tempat kerja dan juga dalam kehidupan seharian yang
disuarakan oleh beberapa bekas pelajar ini. Pensyarah itu hanya
mendengar dan kemudian beliau ke dapur untuk menyediakan minuman kopi
untuk tetamu-tetamunya.
Beliau kemudiannya keluar dengan membawa
satu bekas besar yang berisi minuman kopi dan beberapa jenis cawan. Ada
cawan yang diperbuat daripada porselin, plastik, kaca dan kristal. Ada
cawan yang kelihatan ringkas sahaja. Ada yang nampak murah. Dan ada
juga yang kelihatan mahal dan sangat cantik.
Pensyarah itu mempelawa
tetamu-tetamunya agar melayan-diri. Masing-masing pergi ke meja tempat
dihidangkan minuman kopi itu dan menuangkan sendiri ke dalam cawan yang
berbagai-bagai bentuk, warna dan buatannya itu. Setelah semuanya
mengambil secawan kopi, pensyarah itu berkata:
“Jika anda perasan,
kesemua cawan-cawan yang kelihatan cantik dan mahal telah pun diambil,
tetapi cawan-cawan yang ringkas dan nampak murah tiada sesiapa yang mahu
mengambilnya. Biasalah tu, memang semua nakkan yang terbaik untuk diri
sendiri kan…”
Beliau kemudian menyambung.
“Itulah puncanya kepada masalah-masalah anda. Dan itulah sebabnya kenapa anda berasa tertekan dengan kerjaya dan kehidupan.”
“Saya pasti, cawan-cawan itu tidak memberikan apa-apa nilai kepada kopi
yang anda minum. Dalam beberapa situasi, cawan-cawan itu hanya
membuatkan kopi yang diminum itu lebih mahal harganya. Dan di dalam
situasi yang lain, cawan itu malah menyorokkan apa yang kita minum.”
“Apa yang anda semua betul-betul mahukan adalah minuman kopi itu.
Bukan cawannya. Tetapi anda tetap mahukan cawan yang terbaik sifatnya,
dan kemudian anda memandang dan menjeling ke arah cawan kawan-kawan anda
untuk melihat siapakah yang memiliki cawan yang paling cantik atau
paling bagus.”
“Sekarang, cuba anda fikirkan. KEHIDUPAN adalah
ibarat kopi. Manakala pekerjaan, wang, pangkat dan kedudukan di dalam
masyarakat adalah ibarat cawan. Yang mana ia hanyalah bekas kepada
KEHIDUPAN!”
“Rupa dan jenis cawan tidak memberi makna atau mengubah
nilai KEHIDUPAN yang sedang kita jalani ini. Kadang-kadang dengan kita
hanya menumpukan kepada rupabentuk CAWAN, kita gagal untuk menikmati
MINUMAN KOPI itu. Jadi, nikmatilah dan tumpukanlah kepada KOPI itu,
bukan CAWANNYA!”
“Manusia yang bahagia bukanlah mereka yang memiliki
yang terbaik dalam setiap perkara. Manusia yang bahagia adalah mereka
yang sentiasa membuat yang terbaik di dalam setiap perkara.”
“Hiduplah dengan sederhana. Bercakaplah dengan baik, ambil beratlah
dengan sungguh-sungguh, berkasih sayanglah, bermurah hatilah… dan
hayatilah kehidupan ini dengan penuh makna. Jangan terlalu ditumpukan
kepada aksesori kehidupan.
(spiritual-short-stories.com.)
No comments:
Post a Comment